| 458 | | Kuala Lumpur, 9 Oktober 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melanjutkan tempoh pengurangan kadar kompaun di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 sehingga 31 Disember 2026.
Pelanjutan tempoh ini memberi peluang kepada syarikat yang layak untuk menyelesaikan kompaun tertunggak dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan di bawah kedua-dua akta tersebut.
Menerusi pelanjutan ini, syarikat yang telah mengambil tindakan pemulihan atau memenuhi syarat yang ditetapkan, layak menikmati pengurangan kadar kompaun.
Pengurangan kadar kompaun ini terpakai kepada syarikat yang telah membuat serah simpan dokumen tertunggak, sedang dalam proses pembubaran, telah membuat permohonan pemotongan nama atau dikenakan tindakan pemotongan nama oleh Pendaftar serta syarikat yang telah dibubarkan.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas melalui SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, atau hubungi talian telefon 03-7721 4000atau emel enquiry@ssm.com.my.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 9 OKTOBER 2026 | 10/9/2026 | News | 2026 | Press Release | 09/10/2026 | | 457 | | Bayan Lepas, 6 Oktober 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menganjurkan Dialog Tahunan SSM 2026 Peringkat Zon Utara di sini, hari ini.
Dialog Tahunan SSM merupakan platform komunikasi dua hala yang memberi ruang kepada SSM untuk mendengar, memahami dan meneliti isu serta cabaran yang dihadapi oleh komuniti perniagaan dan korporat, di samping berkongsi maklumat dan memberikan penjelasan mengenai perkembangan semasa berkaitan perundangan, dasar, operasi dan penguatkuasaan.
Program yang telah dirasmikan oleh Encik Rezy Izwan Ramly, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSM ini, telah menerima penyertaan lebih 240 peserta dari kalangan pengarah syarikat, setiausaha syarikat, badan-badan professional, persatuan perniagaan serta wakil daripada agensi-agensi kerajaan.
Dalam ucapannya, Rezy Izwan berkata SSM terus memberikan perhatian kepada penambahbaikan penyampaian perkhidmatan, khususnya melalui penggunaan teknologi dan pengukuhan perkhidmatan digital.
Beliau berkata antara perkembangan utama bagi tahun 2026 adalah pelaksanaan Corporate Registry System (CRS) pada 14 Julai, yang merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan penyampaian perkhidmatan pendaftaran korporat SSM.
Tambahnya, sehingga 15 September, sebanyak 162,730 transaksi telah diluluskan melalui CRS termasuk 9,514 pemerbadanan syarikat.
“Bagi memudah cara urusan serah simpan, SSM turut melanjutkan pengecualian fi lewat serah simpan melalui CRS sehingga 31 Disember 2026 bagi memberi ruang kepada pihak berkepentingan menyelesaikan urusan serah simpan yang berkaitan serta memenuhi tanggungjawab pematuhan masing-masing,” katanya.
Antara pengisian Dialog Tahunan SSM 2026 Peringkat Zon Utara adalah perkongsian mengenai pelaksanaan Corporate Registry System (CRS), inisiatif Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan 2026 yang dilaksanakan oleh SSM, pembentangan Cadangan Pindaan Akta Syarikat 2016 [Akta 777] berkaitan Kerangka Pelaporan Kemampanan dan penerangan berkenaan Arahan Amalan 11/2026 berkaitan Serah Simpan Maklumat Pemegang Saham dan Modal Saham.
Sesi dialog tahunan ini merupakan sesi pertama pada tahun 2026 dan akan disusuli dengan sesi dialog di Kuching, Sarawak pada 12 Oktober dan di Kota Kinabalu, Sabah pada 14 Oktober.
Turut hadir bersama adalah Puan Norhaiza Jemon, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia & Penguatkuasaan) SSM, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri SSM.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 6 OKTOBER 2026
| 10/6/2026 | News | 2026 | Press Release | 06/10/2026 | | 456 | |
Ipoh, 3 Oktober 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini menganjurkan Program Pendigitalan Perniagaan 2026 (PPP26) Peringkat Negeri Perak dengan penyertaan hampir 600 peserta dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta usahawan golongan B40 khususnya dari perusahaan mikro, kecil dan sederhana. PPP26 Peringkat Negeri Perak merupakan inisiatif strategik SSM untuk memperkukuh daya saing sektor perniagaan melalui pemerkasaan usahawan B40 serta para pelajar, khususnya dalam pemanfaatan teknologi digital. Program ini menyokong aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang mengiktiraf pendigitalan sebagai teras penting dalam membina ekosistem keusahawanan yang inklusif, progresif dan berdaya saing. PPP26 juga dilaksanakan seiring dengan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) KPDN dalam memperluas penerapan teknologi digital serta meningkatkan pendedahan peniaga terhadap pengoperasian perniagaan berasaskan digital. Program yang berlangsung di Kolej Poly-Tech MARA Ipoh ini telah dirasmikan oleh Encik Rezy Izwan Ramly, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSM. Antara fokus utama PPP26 adalah untuk memberikan pemahaman dalam aspek penting dunia keusahawanan, khususnya penggunaan teknologi pemasaran melalui media sosial dan e-dagang. Peserta juga diberi pendedahan mengenai kesedaran terhadap penipuan kewangan melalui slot Scam Alert, pendigitalan perniagaan, strategi pemasaran digital serta perkongsian pengalaman daripada usahawan berjaya. PPP26 merupakan kesinambungan dan penjenamaan semula program keusahawanan SSM terdahulu iaitu Program Usahawan Muda dan Program Bimbingan Usahawan. Penganjuran PPP26 Peringkat Negeri Perak merupakan siri pertama bagi tahun 2026. SSM menyediakan kemudahan pendaftaran dan pemerbadanan bagi tiga kategori entiti perniagaan, iaitu perniagaan milikan tunggal atau perkongsian, syarikat dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT). Bakal usahawan boleh mempertimbangkan jenis entiti perniagaan yang sesuai dengan keperluan mereka sebelum membuat pendaftaran atau pemerbadanan dengan SSM. Urusan dengan SSM, termasuk pendaftaran entiti perniagaan baharu, perubahan maklumat, pembaharuan dan penamatan, boleh dilaksanakan secara dalam talian melalui portal SSM4U di www.ssm4u.com.my. Berdasarkan statistik SSM sehingga 31 Ogos 2026, sebanyak 63,765 syarikat telah diperbadankan, 802,060 perniagaan dan 1,285 PLT telah didaftarkan di seluruh negeri Perak. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26,324 syarikat, 150,525 perniagaan dan 1,130 PLT adalah aktif. Semasa program berlangsung, SSM turut menyampaikan agihan Wakalah Zakat Korporat dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM300,000 kepada usahawan dan mahasiswa asnaf, golongan B40, institusi keagamaan, pusat kebajikan serta pertubuhan orang kurang upaya di Perak. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 3 OKTOBER 2026
| 10/3/2026 | News | 2026 | Press Release | 03/10/2026 | | 455 | | Shah Alam, 29 September 2026 – Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada 15 September lalu telah menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan terhadap Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) oleh syarikat Trivillion Development Sdn Bhd (TDSB). TDSB telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap SSM bagi menuntut relif berupa ‘Perintah certiorari untuk membatalkan keputusan SSM yang menolak Permohonan Pendaftaran Skim Kepentingan Jenis Taman Memorial bertarikh 8 Julai 2025’. Berdasarkan fakta kes, SSM telah menerima permohonan untuk mendaftarkan Skim Taman Memorial “Tianma Memorial Park Scheme” pada 17 Mei 2022 daripada Catalyst Advisory and Consultancy (CAC), sebuah syarikat yang dilantik untuk menguruskan permohonan skim bagi syarikat pengurusan, iaitu Tianma Memorial Holdings Sdn Bhd (TMHSB). TDSB iaitu pemohon bagi semakan kehakiman merupakan pihak pemaju dan pemilik tanah di dalam Joint Venture Agreement (JVA) bersama TMHSB bertarikh 1 Mac 2022. Mahkamah memutuskan untuk berpihak kepada SSM setelah mendapati bahawa pemohon bukan pihak yang terkesan dalam keputusan SSM melalui surat bertarikh 8 Julai 2025 yang menolak pendaftaran Skim Taman Memorial “Tianma Memorial Park Scheme”. TDSB tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan bagi permohonan semakan kehakiman ini. Mahkamah juga mendapati terdapat elemen skim kepentingan dalam permohonan skim yang dikemukakan kepada SSM seperti yang ditafsirkan di bawah Seksyen 2 dan 3 Akta Skim Kepentingan 2016. Mahkamah turut mendapati bahawa keputusan SSM yang menolak permohonan pendaftaran akibat kegagalan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan. Kes ini telah dikendalikan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Tetralina Ahmed Fauzi serta pegawai Undang-Undang Kanan SSM, Shari’ah Abu dan Lidia Fyrulliza Ishak manakala pemohon diwakili peguamcara daripada Tetuan Vikram & Co. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 29 SEPTEMBER 2026
| 9/29/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 29/09/2026 | | 454 | | Butterworth, 24 September 2026 – Seorang individu berstatus bankrap mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Butterworth pada 8 September atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 198(1)(a) Akta Syarikat 2016.
Yusri Husain sebelum ini telah didakwa di mahkamah yang sama pada 18 Jun lalu atas kesalahan yang sama dan mengaku tidak bersalah. Walau bagaimanapun, pada sebutan semula kes bertarikh 8 September, tertuduh telah menukar pengakuannya kepada pengakuan bersalah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa kerana bertindak sebagai pengarah syarikat Elit Mestika Global (M) Sdn. Bhd. pada 18 November 2024, sedangkan ketika itu tertuduh merupakan seorang bankrap yang belum dilepaskan dan tidak mendapat kebenaran Mahkamah untuk memegang jawatan atau menjalankan tugas sebagai pengarah syarikat.
Hakim Roslan Hamid telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh dan jika didapati gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dikenakan penjara selama sebulan. Tertuduh telah menjelaskan bayaran denda sejurus selepas prosiding selesai. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Tengku Nor Zurairah Tengku Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.
SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 24 SEPTEMBER 2026
| 9/24/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 24/09/2026 | | 453 | | Kuala Lumpur, 14 September 2026 - Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah (12) di sini pada 10 Ogos lalu atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016. Berdasarkan kertas pertuduhan, Tan Kian Kok, bekas pengarah syarikat Teluk Sepangar Quarry Sdn. Bhd., telah menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat itu tanpa persetujuan atau ratifikasi suatu mesyuarat agung syarikat tersebut dengan meluluskan pembayaran wang syarikat berjumlah RM165,000 kepada Viva Mekar Sdn. Bhd. Tindakan tersebut dilakukan bagi mendapatkan suatu manfaat secara tidak langsung memandangkan tertuduh turut memegang jawatan sebagai pengarah Viva Mekar Sdn. Bhd. Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen Seksyen 218(2) akta yang sama dengan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali. Hakim Siti Shakirah Dato’ Wira Mohtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah telah menetapkan 21 September sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan. Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nurul’Ain Shafie, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Chong Choon Choy. SSM ingin mengingatkan kepada semua pengarah syarikat agar tidak menyalahgunakan kedudukan sebagai pengarah syarikat untuk tujuan yang bertentangan dengan kehendak perundangan. SSM akan mengambil tindakan perundangan sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah akta yang dikawal selia oleh SSM. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 14 SEPTEMBER 2026
| 9/14/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 14/09/2026 | | 452 | | KENYATAAN BERSAMA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI) DAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
PUTRAJAYA, 1 September 2026 - Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] yang mula berkuat kuasa pada 28 Ogos 2026 lalu merupakan hasil kerjasama antara YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selaras dengan agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan, progresif dan sejajar dengan perkembangan ekonomi, sosial serta perdagangan antarabangsa.
Akta 877 menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa. Akta ini berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh UNCITRAL yang disesuaikan dengan undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.
Penguatkuasaan Akta 877 akan meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan, memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan, meningkatkan kepastian undang-undang serta melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan. Akta ini turut membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan.
Kerajaan MADANI komited untuk memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)
YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
| 9/1/2026 | News | 2026 | Press Release | 01/09/2026 | | 451 | | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) komited menangani cabaran dihadapi komuniti perniagaan susulan pelaksanaan Sistem Pendaftaran Korporat (CRS). CRS merupakan satu transformasi digital berskala besar dan kompleks dilaksanakan SSM sebagai kesinambungan kepada usaha pendigitalan perkhidmatan korporat, bukan sekadar melibatkan pembangunan sistem baharu tetapi merangkumi penyatuan pelbagai sistem legasi, proses perniagaan dan perkhidmatan sedia ada serta penghijrahan rekod korporat ke satu ekosistem digital bersepadu. Fasa 1 CRS Telah BermulaPelaksanaan CRS dibuat secara berfasa dan terkawal bagi memastikan proses peralihan dapat dilaksanakan secara sistematik, di samping memberi ruang kepada SSM untuk menstabilkan sistem dan melaksanakan penambahbaikan berdasarkan pengalaman serta maklum balas pengguna. Fasa 1 yang bermula pada 14 Julai 2026 meliputi perkhidmatan berkaitan syarikat termasuk perkhidmatan yang sebelum ini disediakan melalui MyCoID, e-Secretary serta pelbagai perkhidmatan penyerahsimpanan berkanun yang dilaksanakan melalui kaedah terdahulu. Fasa seterusnya dijangka dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini, meliputi perkhidmatan berkaitan milikan tunggal, perkongsian konvensional, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad (LLP). Apabila dilaksanakan sepenuhnya, CRS akan menghimpunkan perkhidmatan pendaftaran korporat SSM di bawah satu platform digital yang lebih bersepadu, moden dan berpusatkan pengguna. Cabaran Sebahagian Proses Transformasi Berskala BesarKPDN mengakui bahawa pelaksanaan CRS pada peringkat awal berdepan beberapa cabaran, khususnya dari aspek prestasi sistem dan pengalaman pengguna. Perkara ini turut menerima maklum balas daripada komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan yang bergantung kepada perkhidmatan SSM bagi melaksanakan urusan pendaftaran, pemfailan dan transaksi korporat mereka. Namun, cabaran tersebut telah ditangani dan SSM sedang melaksanakan proses penstabilan dan pengoptimuman secara berterusan. CRS melibatkan integrasi sistem dan proses perniagaan yang kompleks, termasuk perubahan atau kemas kini maklumat korporat seperti pertukaran alamat, perubahan pengarah serta pelbagai transaksi lain yang memerlukan penyelarasan data dan rekod korporat sedia ada. SSM Gerakkan Pasukan Teknikal Secara IntensifBagi menangani isu yang timbul, SSM telah menggerakkan program pemulihan dan penstabilan yang melibatkan pasukan teknikal SSM, pembangun sistem, pakar pangkalan data dan pakar infrastruktur. Langkah ini turut disokong pemantauan sistem secara intensif, penyelenggaraan berjadual serta peningkatan teknikal berterusan bagi memperkukuh kestabilan sistem dan meningkatkan pengalaman pengguna. SSM juga terus mengemas kini soalan lazim (FAQ), manual pengguna dan panduan penggunaan, selain menyediakan saluran sokongan pelanggan CRS, ruang libat urus dengan komuniti perniagaan serta bahan rujukan berkaitan sistem di laman web rasmi SSM.Dalam tempoh penstabilan ini, SSM turut mengambil langkah untuk mengurangkan kesan peralihan terhadap komuniti korporat. Antaranya ialah pengecualian automatik daripada yuran lewat serah simpan bagi pemfailan melalui CRS dan MBRS, selain pelanjutan tempoh penyerahsimpanan berkanun bagi transaksi terpilih. Pendekatan ini penting bagi memastikan pengguna tidak dikenakan penalti akibat kelewatan berpunca daripada tempoh peralihan dan penstabilan sistem. Lebih 70,000 Transaksi Berjaya DiprosesDaripada sistem dan proses manual pada peringkat awal penubuhan, SSM telah memperkenalkan pelbagai platform digital seperti MyCoID, EzBiz Online, MyLLP dan Malaysia Business Reporting System (MBRS) sebelum menyediakan SSM4U sebagai gerbang tunggal kepada perkhidmatan dalam talian SSM. CRS kini menjadi langkah seterusnya dalam evolusi tersebut dengan matlamat menyatukan perkhidmatan pendaftaran korporat ke dalam ekosistem digital yang lebih bersepadu. Walaupun berdepan cabaran pada peringkat awal pelaksanaan, CRS menunjukkan perkembangan positif. Setakat 10 Ogos 2026, lebih 70,000 transaksi telah berjaya diproses melalui CRS. Pencapaian ini dalam tempoh kurang sebulan selepas sistem mula beroperasi menunjukkan bahawa sistem tersebut telah mula menyokong transaksi korporat secara aktif, sementara kerja penstabilan dan penambahbaikan terus dilaksanakan. Dengan SSM kini mengawal selia lebih 718,000 syarikat aktif, 1.7 juta perniagaan aktif dan 40,000 perkongsian liabiliti terhad aktif, keperluan terhadap sistem pendaftaran korporat yang cekap, selamat dan berdaya tahan adalah semakin penting. Transformasi Perlu Dibina Atas KepercayaanDalam era ekonomi digital, transformasi teknologi tidak boleh dipisahkan daripada soal kepercayaan, tadbir urus dan integriti data. Sistem yang lebih pantas dan moden mesti pada masa sama mempunyai tahap keselamatan, ketepatan data dan kebolehpercayaan tinggi. KPDN menyokong usaha SSM untuk terus menstabilkan CRS dan memperkukuh sistem berdasarkan maklum balas pengguna, selain turut menghargai kesabaran serta kerjasama komuniti perniagaan sepanjang tempoh peralihan ini. Justeru, penambahbaikan CRS akan terus dilakukan secara berterusan dan berfasa supaya matlamat mewujudkan ekosistem pendaftaran korporat Malaysia yang moden, selamat, cekap, berdaya tahan dan berpusatkan pengguna tercapai. KPDN yakin bahawa dengan pendekatan penambahbaikan berterusan, libat urus bersama komuniti perniagaan serta komitmen SSM untuk menangani isu yang timbul, CRS akan menjadi antara pemangkin penting kepada agenda pendigitalan sektor korporat dan pembangunan ekonomi digital Malaysia. YB SENATOR DATUK DR FUZIAH SALLEHTimbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur 18 Ogos 2026
| 8/18/2026 | News | 2026 | Press Release | 18/08/2026 | | 450 | | Ipoh, 31 Julai 2026 – Seorang setiausaha syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini pada 23 Julai atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 bagi kesalahan membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat. Berdasarkan kertas pertuduhan, Norhaslinda Addenan telah didakwa atas empat pertuduhan kerana membuat pernyataan palsu dengan memasukkan nama firma Hisham & Co. sebagai juruaudit ANZ Ecotech Resources Sdn. Bhd., walaupun firma tersebut tidak pernah menjalankan audit terhadap syarikat berkenaan. Pertuduhan pertama melibatkan dokumen Statement of Account bertarikh 31 Disember 2017, manakala pertuduhan kedua, ketiga dan keempat masing-masing melibatkan Borang Seksyen 68 – Annual Return of Company Having a Share Capital bagi tahun 2017, 2018 dan 2019. Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 593 Akta yang sama dengan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali. Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan. Mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan dan lantikan peguam. Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Tengku Nor Zurairah Tengku Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili. SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan kepada SSM. SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 31 JULAI 2026
| 7/31/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 31/07/2026 | | 449 | | Kajang, 20 Julai 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyalurkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah lebih RM100,000 kepada Rumah Seri Kenangan Cheras sempena Program Sentuhan Kasih yang diadakan pada 17 Julai 2026.
Program ini bertujuan menyampaikan sumbangan dan bantuan keperluan harian kepada penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras yang berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Program ini juga memberi peluang kepada warga kerja SSM melaksanakan aktiviti kesukarelawanan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penghuni rumah berkenaan.
Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM80,408 sumbangan Wakalah Zakat Korporat disampaikan kepada Rumah Seri Kenangan Cheras bagi keperluan rawatan dan peralatan perubatan. Selain itu, SSM juga menyumbangkan RM20,000 melalui dana CSR bagi sumbangan kebajikan dan pengoperasian rumah tersebut.
Majlis sumbangan ini telah disempurnakan oleh Encik Aznorashiq Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM, mewakili Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM kepada Dato’ Sri Zulkeflee Hazeh, Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Cheras.
Antara pengisian program ialah pelaksanaan aktiviti kesukarelawanan yang melibatkan seramai 65 warga kerja SSM yang berpeluang menyantuni dan beramah mesra bersama para penghuni, di samping bergotong-royong untuk membersihkan persekitaran Rumah Seri Kenangan Cheras bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan selesa.
Pada tahun-tahun sebelum ini, SSM telah menyalurkan sumbangan kepada beberapa projek di bawah JKM dari tahun 2021 hingga 2025 termasuk Projek Bakeri di Sekolah Tunas Bakti Taiping, Projek Perkhidmatan Dobi di Bengkel Daya Sungai Petani dan Projek Keusahawanan Sosial Peserta 2YEP 2023 dengan jumlah sumbangan lebih RM430,000.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2026, SSM telah mengagihkan lebih RM4.6 juta dana Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 6,096 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM430,000 melalui pelbagai program CSR kepada 907 penerima yang memerlukan.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 20 JULAI 2026
| 7/20/2026 | News | 2026 | Press Release | 20/07/2026 | | 448 | | Shah Alam, 13 Julai 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyalurkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM220,000 kepada pelajar-pelajar asnaf Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sempena Program Dermasiswa SSM pada 10 Julai. Sumbangan kepada 200 pelajar asnaf fakir dan miskin ini bertujuan membantu melunaskan yuran pengajian tertunggak serta meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh para pelajar. Inisiatif ini merupakan usaha SSM untuk menyokong kelangsungan pendidikan pelajar asnaf agar dapat menamatkan pengajian, memperoleh sijil kelayakan dan seterusnya meningkatkan peluang membina kerjaya serta kehidupan yang lebih baik. Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM kepada Profesor Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM. Dalam ucapannya, Datuk Nor Azimah berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen SSM untuk terus berusaha memperbaiki kehidupan masyarakat yang memerlukan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI. Setakat 1 Januari hingga 30 Jun 2026, SSM telah mengagihkan lebih RM4.6 juta Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 6,096 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM430,000 melalui program CSR kepada 907 penerima yang memerlukan. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIATARIKH: 13 JULAI 2026
| 7/10/2026 | News | 2026 | Press Release | 10/07/2026 | | 447 | | Hulu Kelang, 27 Jun 2026 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menganjurkan Program Sukarelawan SSM: Wildlife Heroes @ Zoo Negara dengan penyertaan seramai 150 warga kerja SSM bertempat di Zoo Negara, di sini. Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM selaras dengan Pelan Hala Tuju Strategik SSM (SDP IV) 2026 – 2030 ini, bertujuan menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar di samping menggalakkan penglibatan warga kerja SSM dalam aktiviti kesukarelawanan serta memupuk semangat keprihatinan terhadap tanggungjawab sosial. Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti di bawah lima kategori program Zoo Negara iaitu Glide, Grow, Groom, Glow dan Green yang melibatkan penanaman pokok, pembersihan sungai dan kawasan perairan, pembersihan kandang haiwan dan lumut serta kerja-kerja mengecat. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja membantu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan lestari untuk haiwan serta pengunjung Zoo Negara, malah turut memupuk semangat kerja berpasukan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar. Selain aktiviti kesukarelawanan, SSM turut menyalurkan agihan Wakalah Zakat Korporat sebagai simbol sokongan berterusan kepada usaha pemuliharaan dan kebajikan hidupan liar negara. Penyerahan sumbangan berjumlah RM23,700 ini telah disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM kepada Dato' Sr Zaharin Md. Arif, Presiden Malaysian Zoological Society, bagi penambahbaikan bumbung Surau Abu Hurairah, Zoo Negara. Pada tahun-tahun sebelum ini, SSM turut terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarelawan seperti penubuhan Skuad Bantuan Kilat SSM yang melibatkan 162 warga kerja dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir. Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2026, SSM telah mengagihkan dana Wakalah Zakat Korporat berjumlah lebih RM4.2 juta kepada hampir 6,000 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh sama, SSM turut menyalurkan lebih RM350,000 melalui inisiatif CSR kepada 480 penerima yang memerlukan. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIATARIKH: 27 JUN 2026
| 6/27/2026 | News | 2026 | Press Release | 27/06/2026 | | 446 | | Butterworth, 25 Jun 2026 – Seorang individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di sini pada 18 Jun 2026 atas satu pertuduhan di bawah seksyen 198(1)(a) Akta Syarikat 2016.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Yusri Husain didakwa kerana bertindak sebagai pengarah syarikat Elit Mestika Global (M) Sdn. Bhd. pada 18 November 2024, sedangkan pada masa itu tertuduh merupakan seorang bankrap yang belum dilepaskan dan tidak mendapat kebenaran Mahkamah untuk memegang jawatan atau menjalankan tugas sebagai pengarah syarikat.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen 198(7) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya sekali.
Hakim Roslan Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan 22 Julai 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Amir Sharifuddin Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.
SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 25 JUN 2026
| 6/25/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 25/06/2026 | | 445 | | Kuala Lumpur, 15 Jun 2026 – Seorang pengarah syarikat telah didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 kerana membenarkan satu pernyataan palsu dibuat kepada SSM berhubung pelantikannya sebagai pengarah syarikat. Tertuduh, Juliana Jamian yang merupakan pengarah syarikat UTS Maju Construction Sdn. Bhd. sebelum ini telah didakwa di mahkamah yang sama pada 19 Mei 2025 atas tiga pertuduhan di bawah seksyen yang sama dan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut. Walau bagaimanapun, pada prosiding sebutan semula pada 21 Mei 2026, tertuduh telah menukar pengakuannya kepada bersalah bagi satu pertuduhan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan melalui rundingan akuan. Hakim Siti Shakirah Dato’ Wira Mohtarudin telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut. Dalam menentukan hukuman, mahkamah turut mengambil kira dua lagi pertuduhan lain selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di bawah seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah. Tertuduh telah menjelaskan bayaran denda sejurus prosiding selesai. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi bersama Pegawai Pendakwa SSM, Farieza Hazreen Salehuddin dan Hamizah Sobree. Tertuduh diwakili peguam bela Muhamad 'Aizat Adli. SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan kepada SSM. SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIATARIKH: 15 JUN 2026
| 6/15/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 15/06/2026 | | 444 | | Subang, 12 Jun 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menganjurkan Program SSM InfoSession 2026 Zon Tengah (Selangor) dengan penyertaan lebih 250 peserta dari kementerian-kementerian, agensi-agensi, pihak berkuasa tempatan, serta komuniti perniagaan dan korporat pada 11 Jun 2026.
Program ini bertujuan menyampaikan penerangan yang lebih terperinci mengenai produk dan perkhidmatan SSM, di samping memberi pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap inisiatif-inisiatif semasa.
SSM InfoSession 2026 Zon Tengah ini telah disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM. Dalam ucapannya, beliau berkata SSM komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara progresif dan cekap dalam menyediakan maklumat korporat yang telus dan dipercayai.
"SSM akan terus mempromosi amalan memperkukuh tadbir urus serta mempertingkat literasi pematuhan di semua peringkat komuniti perniagaan dan korporat di negara ini”, katanya.
Selain sesi taklimat berkenaan pembekalan maklumat korporat dan skim kepentingan, peserta turut diberi pendedahan kepada pelbagai perkhidmatan digital SSM seperti MyData-SSM, SSM Search, SafeData SSM dan SSM e-Info. Kesemua platform ini disediakan untuk membantu pengguna mendapatkan akses data perniagaan yang sah dan terkini.
Mengikut statistik SSM, sebanyak 1,673,183 syarikat telah diperbadankan, 9,839,184 perniagaan dan 46,535 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) telah didaftarkan sehingga 31 Mei 2026. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 717,465 syarikat, 1,697,298 perniagaan dan 40,536 PLT adalah aktif.
Bagi negeri Selangor, sebanyak 415,586 syarikat telah diperbadankan, 2,493,527 perniagaan dan 18,676 PLT telah didaftarkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 196,238 syarikat, 440,196 perniagaan dan 16,188 PLT adalah aktif.
Program ini merupakan siri kedua bagi tahun 2026 susulan daripada siri pertama yang diadakan di Sarawak pada bulan Mei. Pada tahun 2025, SSM telah menganjurkan dua sesi yang sama di Pulau Pinang dan di Johor dengan jumlah penyertaan lebih 400 peserta.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot (24 jam, 7 hari), Live Chat SSM (8.00 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat, kecuali hari cuti umum) melalui portal rasmi SSM, talian telefon atau emel ke enquiry@ssm.com.my.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 12 JUN 2026
| 6/12/2026 | News | 2026 | Press Release | 12/06/2026 | | 443 | | Kuala Terengganu, 8 Jun 2026 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.
Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkasa pendaftaran perniagaan dan pembangunan keusahawanan di Negeri Terengganu, khususnya bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran perniagaan, perkongsian liabiliti terhad (PLT) dan pemerbadanan syarikat.
MoU ini ditandatangani oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Puan Afnida Aini Alwi, Ketua Pegawai Eksekutif YPU.
Dalam ucapannya, Datuk Nor Azimah berkata, kolaborasi antara SSM dan YPU ini akan memberi impak positif kepada pembangunan usahawan di Negeri Terengganu, khususnya dalam meningkatkan kesedaran pematuhan, memperkukuh keyakinan terhadap ekosistem perniagaan, menyokong pembangunan PMKS, serta menggalakkan lebih ramai usahawan untuk mendaftarkan dan mengembangkan perniagaan secara sah dan berstruktur.
”SSM berharap pelaksanaan kerjasama strategik ini dapat memberi manfaat yang signifikan kepada komuniti perniagaan, syarikat dan PLT di Negeri Terengganu, khususnya dalam meningkatkan tahap kesedaran serta pematuhan terhadap keperluan pendaftaran perniagaan”, katanya.
Puan Afnida Aini berkata YPU berharap kerjasama ini dapat meningkatkan bilangan usahawan yang berdaftar dengan SSM, khususnya dalam kalangan usahawan mikro, penjaja, peniaga kecil, usahawan desa, usahawan belia dan usahawan wanita di seluruh Negeri Terengganu.
"Dalam masa yang sama, kita juga berharap agar tahap kesedaran dan pematuhan terhadap keperluan perundangan yang ditetapkan oleh SSM dapat dipertingkatkan supaya para usahawan bukan sahaja berjaya menjana pendapatan, tetapi juga mampu mengurus perniagaan secara lebih profesional, telus dan berintegriti”, katanya.
Mengikut statistik SSM, sebanyak 15,491 syarikat telah diperbadankan, 417,981 perniagaan dan 542 PLT telah didaftarkan di Negeri Terengganu sehingga 31 Mei 2026. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,003 syarikat, 71,768 perniagaan dan 491 PLT adalah aktif.
Majlis ini turut disaksikan oleh Encik Md. Rafiza Ab. Derani, Pengarah SSM Negeri Terengganu dan Yang Mulia T. Ahmad Shabirin Awalludin, Pengurus Kanan Korporat YPU.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas melalui SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, atau hubungi talian telefon atau emel enquiry[at]ssm.com.my.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 8 JUN 2026
| 6/8/2026 | News | 2026 | Press Release | 08/06/2026 | | 442 | | Kuching, 14 Mei 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini telah menganjurkan Program SSM InfoSession 2026 Zon Timur mewakili pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pengamal korporat.
Program ini bertujuan menyampaikan penerangan yang lebih terperinci mengenai produk dan perkhidmatan SSM serta membantu pihak berkepentingan memahami prosedur dan perkhidmatan yang berkaitan.
SSM InfoSession 2026 Zon Timur ini telah disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM. Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran program seperti ini mencerminkan komitmen berterusan SSM dalam memperkukuh kefahaman pihak-pihak berkepentingan terhadap peranan dan fungsi SSM, khususnya dalam memastikan ketelusan serta integriti maklumat korporat di negara ini.
“Melalui sesi seperti ini juga, SSM berpeluang untuk berkongsi perkembangan terkini berkaitan inisiatif, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, di samping mendapatkan maklum balas secara langsung daripada para peserta bagi tujuan penambahbaikan berterusan”, katanya.
Selain sesi taklimat berkaitan pembekalan maklumat korporat dan skim kepentingan, peserta turut diberi pendedahan kepada pelbagai perkhidmatan digital SSM seperti MyData-SSM, SSM Search, SafeData SSM dan SSM e-Info. Kesemua platform ini disediakan untuk membantu pengguna mendapatkan akses data perniagaan yang sah dan terkini.
Mengikut statistik SSM, sebanyak 1,663,314 syarikat telah diperbadankan, 9,779,677 perniagaan dan 45,954 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) telah didaftarkan sehingga 31 Mac 2026. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 712,579 syarikat, 1,692,221 perniagaan dan 40,123 PLT adalah aktif.
Bagi negeri Sarawak, sebanyak 92,397 syarikat telah diperbadankan dan 2,274 PLT telah didaftarkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45,892 syarikat dan 2,043 PLT adalah aktif.
Program ini merupakan siri pertama bagi tahun 2026 dengan penyertaan lebih 200 peserta. Pada tahun 2025, SSM telah menganjurkan dua sesi yang sama di Pulau Pinang dan di Johor dengan jumlah penyertaan lebih 400 peserta.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot (24 jam, 7 hari), Live Chat SSM (8.00 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat, kecuali hari cuti umum) melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke enquiry[at]ssm.com.my.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 14 MEI 2026
| 5/14/2026 | News | 2026 | Press Release | 14/05/2026 | | 441 | | Seremban, 12 Mei 2026 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) di Hotel Arena Premier, di sini.
Kerjasama strategik ini dilaksanakan dalam usaha memperkasa pembangunan keusahawanan di Negeri Sembilan, khususnya bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran perniagaan, perkongsian liabiliti terhad (PLT) dan pemerbadanan syarikat agar usahawan beroperasi secara sah dan berstruktur. MoU ini ditandatangani oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Dato’ Rusmimah Mat Derus, Ketua Pegawai Eksekutif PKNNS. Dalam ucapannya, Datuk Nor Azimah berkata kolaborasi ini dijangka akan memberi impak positif kepada pembangunan usahawan di Negeri Sembilan, dalam meningkatkan kesedaran pematuhan, memperkukuh keyakinan terhadap ekosistem perniagaan, menyokong pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta menggalakkan lebih ramai usahawan untuk mendaftarkan dan mengembangkan perniagaan. ”Pelaksanaan pelbagai inisiatif dan aktiviti yang komprehensif melalui medium yang bersesuaian termasuk sesi taklimat pendaftaran perniagaan secara fizikal dan dalam talian, pendedahan kepada perkhidmatan SSM EzBiz Online, serta inisiatif seperti Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP), Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) dan SSM BizTrust di samping pelaksanaan Kaunter Bergerak Pendaftaran Perniagaan (KBPP) di seluruh daerah di Negeri Sembilan, akan memberikan manfaat kepada pelanggan serta para pemegang taruh,” katanya. Menurut Dato’ Rusmimah, kerjasama strategik antara PKNNS dan SSM dalam pembangunan usahawan di Negeri Sembilan telah terjalin sejak tahun 2019 menerusi penglibatan kedua-dua pihak dalam inisiatif Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang memberi manfaat kepada lebih 7,000 usahawan di negeri ini.
“Kerjasama erat ini diharap dapat terus diperkukuh di masa hadapan melalui MoU yang dimeterai pada hari ini, demi melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan,” katanya.
Majlis ini turut disaksikan oleh Encik Rezy Izwan Ramly, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran dan Perkhidmatan Perniagaan) SSM dan Encik Azry Othman, Pengurus Kanan Korporat PKNNS. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas melalui SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, atau hubungi talian telefon 03-7721 4000 atau emel enquiry[at]ssm.com.my. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 12 MEI 2026
| 5/12/2026 | News | 2026 | Press Release | 12/05/2026 | | 440 | | Kuala Lumpur, 4 Mei 2026 - Seorang bekas setiausaha syarikat telah mengaku bersalah pada 15 April atas dua pertuduhan di bawah seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 kerana memberi maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat berhubung pelantikan seorang pengarah warganegara asing bagi syarikat MB International Sdn Bhd dan Ascent GT Sdn Bhd.
Ardzlyn Hawatul Yuhanis Uyob@Ayob, sebelum ini telah didakwa di mahkamah yang sama pada 17 Februari 2025 atas kedua-dua kesalahan yang sama dan mengaku tidak bersalah. Walau bagaimanapun, pada sebutan semula kes bertarikh 15 April 2026, tertuduh telah menukar pengakuannya kepada pengakuan bersalah.
Pada prosiding yang sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah seksyen 86(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 kerana gagal mengemukakan laporan transaksi mencuriga dengan segera kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
Hakim Siti Shakirah Dato’ Wira Mohtarudin telah menjatuhkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM25,000 serta penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut bagi satu pertuduhan di bawah Akta Syarikat 2016 dan satu pertuduhan di bawah AMLA 2001. Pada prosiding yang sama, mahkamah dalam menentukan dan menjatuhkan hukuman tersebut, turut mempertimbangkan “take into consideration” satu lagi pertuduhan di bawah Akta Syarikat 2016 dan satu pertuduhan di bawah AMLA 2001, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah melalui rundingan akuan.
Tertuduh telah menjelaskan bayaran denda sejurus prosiding selesai.
SSM juga telah membatalkan sijil perakuan amalan setiausaha tertuduh selaras dengan kuasa Pendaftar yang diperuntukkan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.
Pendakwaan bagi kes di bawah Akta Syarikat 2016 telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi dan Pegawai Pendakwa SSM, Nurul’Ain Shafie, manakala bagi pendakwaan bagi kes AMLA 2001 dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei. Tertuduh pula diwakili oleh peguam Jeremy Vinesh Anthony Jeyakumar dan Audrey Tam Kah Yee.
SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan kepada SSM. SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 4 MEI 2026
| 5/4/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 04/05/2026 | | 439 | | Miri, 30 April 2026 – Seorang bekas pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 13 April 2026 dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 kerana memberi maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat. Berdasarkan pertuduhan, Poh Chii Shien mengaku tidak bersalah atas kesalahan memberikan maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat berhubung butiran di dalam borang permohonan membatalkan syarikat Lambang Perkasa Teguh Sdn. Bhd., sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016. Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali. Hakim Afidah Abdul Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan tersebut. Mahkamah turut menetapkan 20 Mei 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen oleh pihak pendakwaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Hamizah Sobree manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam. SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan kepada SSM. SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIATARIKH: 30 APRIL 2026
| 4/30/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 30/04/2026 | | 438 | | Kuala Lumpur, 17 April 2026 – Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Mawar, Ibu Pejabat KPTM.
Kerjasama strategik ini bertujuan mempromosikan pendidikan keusahawanan, di samping meningkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat khususnya komuniti KPTMSB mengenai kepentingan pendaftaran perniagaan.
Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelbagai inisiatif termasuk perkongsian kepakaran, peluang latihan industri, penganjuran program bersama serta aktiviti akademik yang relevan dengan keperluan semasa industri.
MoU ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Tuan Haji Radzuan bin Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.
Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Haji Radzuan bin Razali berkata, kolaborasi ini dijangka memberi impak signifikan kepada pembangunan pelajar dan tenaga akademik.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang pembelajaran yang lebih luas kepada pelajar, malah memperkukuhkan ekosistem pendidikan yang lebih dinamik dan responsif terhadap kehendak industri,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz pula berkata, pendaftaran perniagaan dengan SSM bukan sekadar langkah untuk mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam membangunkan perniagaan yang kompetitif.
“Usaha ini bukan sahaja memberi pendedahan awal tentang aspek perundangan dan pengurusan perniagaan, malah turut menyemai semangat keusahawanan agar pelajar lebih bersedia menceburi dunia perniagaan secara sah dan beretika pada masa hadapan,” katanya.
Majlis ini turut menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi serta wakil kedua-dua organisasi sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan bakat masa hadapan.
Melalui inisiatif ini, KPTMSB terus komited dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja.
| 4/17/2026 | News | 2026 | Press Release | 17/04/2026 | | 437 | | Kuala Lumpur, 15 April 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AEON Co. (M) Bhd di ibu pejabat SSM, Menara SSM@Sentral pada 14 April 2026.
MoU ini merupakan satu langkah strategik bagi menggalakkan serta memupuk budaya pematuhan kendiri terhadap undang-undang yang ditadbir oleh SSM, khususnya dalam kalangan penyewa-penyewa pusat beli-belah AEON.
Menerusi MoU ini, SSM akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penyewa melalui penyebaran bahan pendidikan, penyampaian panduan secara langsung berhubung keperluan undang-undang yang ditadbir oleh SSM, serta sokongan berterusan dalam bentuk pemantauan dan nasihat pematuhan sepanjang tempoh MoU tersebut.
Kerjasama ini penting bagi memastikan perniagaan, syarikat dan perkongsian liabiliti terhad mematuhi garis panduan perundangan dan dasar yang ditetapkan, di samping menerapkan budaya kerja berteras integriti agar meminimumkan risiko ketidakpatuhan. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada entiti-entiti yang beroperasi di 27 premis AEON di seluruh negara.
MoU tersebut ditandatangani oleh Puan Norhaiza Jemon, Pengarah Bahagian Pematuhan Korporat SSM dan Puan Munirah Azmi, Ketua Pegawai Operasi Bersama (Pusat Membeli Belah) AEON.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklum Balas melalui SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, atau hubungi talian telefon 03-7721 4000atau emel enquiry@ssm.com.my.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 15 APRIL 2026
| 4/15/2026 | News | 2026 | Press Release | 15/04/2026 | | 436 | | Kuala Lumpur, 13 April 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini telah menganjurkan Klinik Pematuhan Kuala Lumpur dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori dengan kehadiran lebih 300 peserta terdiri daripada pengamal korporat dan pihak berkepentingan.
Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori ini dilaksanakan sebagai usaha berfokus untuk memperkukuh pematuhan syarikat terhadap keperluan perundangan korporat serta menyokong ekosistem perniagaan yang telus dan berintegriti.
Inisiatif kempen pemulihan yang akan berlangsung mulai 16 April sehingga 30 September ini, dilaksanakan sebagai salah satu langkah strategik untuk mempertingkatkan kadar pematuhan pada tahun 2026.
Dalam tempoh tersebut, syarikat yang bersetuju menyertai pelan pemulihan perlu membuat akujanji untuk mengemaskini penyata tahunan, pemunyaan benefisial dan penyata kewangan yang tertunggak atau mengemukakan permohonan pemotongan nama bagi syarikat yang tidak aktif.
Syarikat yang menyertai pelan pemulihan ini akan diberi tempoh tiga bulan untuk serah simpan penyata tahunan dan pemunyaan benefisial tertunggak, enam bulan untuk serah simpan penyata kewangan tertunggak dan tiga bulan untuk membuat permohonan pemotongan nama syarikat.
Manfaat yang akan diperolehi oleh syarikat yang menyertai pelan ini adalah termasuk pengecualian daripada penawaran kompaun serta tindakan pendakwaan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akujanji. Syarikat yang telah melaksanakan tindakan pemulihan yang dipersetujui pula layak mendapat pengurangan kompaun yang lebih tinggi daripada kadar semasa, iaitu antara 90% hingga 98.75% bersamaan dengan pengurangan kompaun antara RM900 hingga RM39,500 mengikut seksyen kesalahan yang berkenaan.
Bagi menyokong pelaksanaan kempen ini, SSM turut menganjurkan Klinik Pematuhan yang bertujuan memberikan bimbingan dan khidmat nasihat secara langsung kepada peserta. Klinik ini dianjurkan di lima negeri bermula di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak sepanjang April hingga Mei 2026.
Para peserta klinik ini berpeluang membuat semakan terhadap tahap pematuhan syarikat masing-masing, mengenal pasti punca ketidakpatuhan, merangka pelan tindakan pemulihan yang bersesuaian serta mendapatkan penjelasan mengenai proses pemotongan nama syarikat bagi entiti yang tidak lagi aktif.
Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori ini merupakan salah satu daripada empat inisiatif utama SSM bagi tahun 2026 seperti yang telah diumumkan oleh YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 2 April lalu.
Klinik Pematuhan Kuala Lumpur dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori ini telah disempurnakan oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa SSM telah mengambil langkah untuk menyediakan Klinik Pematuhan Kuala Lumpur dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori ini sebagai platform sokongan untuk membimbing dan membantu syarikat agar dapat meningkatkan tahap pematuhan masing-masing secara lebih berkesan.
“Inisiatif anjuran SSM ini merupakan peluang terbaik kepada syarikat untuk memperbetulkan kedudukan pematuhan di samping mengemas kini maklumat korporat, serta menikmati pengurangan kompaun yang amat signifikan”, katanya.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas melalui SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, atau hubungi talian telefon atau emel enquiry[at]ssm.com.my.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 13 APRIL 2026 | 4/13/2026 | News | 2026 | Press Release | 13/04/2026 | | 435 | | Sejak penubuhannya pada 16 April 2002, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), terus komited melaksanakan mandatnya sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat negara. Komitmen ini dizahirkan melalui usaha berterusan memperkukuh kerangka perundangan korporat negara, termasuk pelaksanaan dua pindaan utama iaitu Akta Syarikat (Pindaan) 2024 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024. Usaha ini selari dengan visi SSM sebagai ‘Peneraju dalam Memperkasa Ekosistem Perniagaan yang Dipercayai, Cekap dan Lestari’. Seiring dengan aspirasi tersebut, KPDN melalui SSM memperkenalkan empat inisiatif utama bagi tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada peningkatan tahap pematuhan korporat serta pengurangan bebanan kepada komuniti perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 1. Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Dokumen Statutori Inisiatif pertama ialah pelaksanaan Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori bagi membantu syarikat yang menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan di bawah Akta Syarikat 2016. Melalui inisiatif ini, syarikat berpeluang mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada pegawai SSM serta melaksanakan tindakan pemulihan terhadap dokumen statutori yang tertunggak seperti Penyata Tahunan (PT), Penyata Kewangan (PK) dan Maklumat Pemunyaan Benefisial (PB). Sebagai sebahagian daripada pendekatan pemulihan yang lebih komprehensif, kempen ini akan berlangsung dari 16 April 2026 hingga 30 September 2026 dengan kemudahan berikut: · Tempoh 3 bulan untuk serah simpan PT dan PB tertunggak; · Tempoh 6 bulan untuk serah simpan PK tertunggak; dan · Tempoh 3 bulan untuk memohon pemotongan nama syarikat tidak aktif. Selain itu, syarikat yang menyertai kempen ini turut berpeluang menikmati pengecualian tindakan pendakwaan dalam tempoh tertentu, pengecualian kompaun bagi kesalahan yang belum dikompaun serta pengurangan kompaun bagi kesalahan tertentu. 2. Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) Inisiatif kedua adalah penerusan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) yang menyediakan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Melalui skim ini, golongan OKU bukan sahaja menerima manfaat pendaftaran perniagaan secara percuma, malah turut menikmati pembaharuan pendaftaran secara percuma setiap tahun. Pendekatan ini membantu mengurangkan beban kos pematuhan serta menggalakkan penyertaan lebih inklusif dalam aktiviti keusahawanan. 3. Pelanjutan Tempoh Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) Seterusnya, SSM melanjutkan tempoh pendaftaran Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) daripada satu tahun kepada dua tahun. Inisiatif ini memberi peluang kepada usahawan daripada kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di IPTA/IPTS, Politeknik dan institusi kemahiran untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, sekali gus menyokong kelestarian dan pertumbuhan PMKS. 4. Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) Sebagai langkah memperluas penyertaan ekonomi secara inklusif, SSM turut memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) sebagai kategori baharu di bawah SPPP. Skim ini menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma bagi tahun pertama kepada warga emas, sekali gus membuka peluang kepada golongan ini untuk menjana pendapatan dan terus aktif menyumbang kepada ekonomi negara. Inisiatif ini juga selari dengan keperluan negara dalam menghadapi cabaran menuju ke arah negara menua (ageing nation). Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat kepada sekitar 8% pada tahun 2025 dan dijangka melebihi 15% menjelang tahun 2030. Pelaksanaan bagi inisiatif pertama dan kedua akan bermula pada 16 April 2026, manakala inisiatif ketiga dan keempat akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026. Sehubungan itu, SSM menyeru para usahawan dan komuniti korporat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan melalui inisiatif-inisiatif ini dalam memastikan pematuhan berterusan terhadap undang-undang, seterusnya menyumbang kepada persekitaran perniagaan domestik yang lebih berdaya saing, mampan dan inklusif. YB SENATOR DATUK DR. HAJAH FUZIAH SALLEH Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup UKM Bangi
| 4/2/2026 | News | 2026 | Press Release | 02/04/2026 | | 434 | | Gombak, 3 Mac 2026 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama International Islamic University Malaysia (IIUM) bertempat di Pejabat Rektor, IIUM di sini pada 2 Mac 2026.
MoU ini menandakan satu langkah strategik dalam memperkasa pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan pelajar dan graduan IIUM. Melalui MoU ini, SSM komited untuk menyediakan platform yang mampu menyokong kebolehpasaran graduan melalui beberapa inisiatif utama.
Sebagai inisiatif pertama, SSM akan menyediakan penempatan latihan industri secara berstruktur kepada para pelajar dalam bidang utama seperti undang-undang, teknologi maklumat, perakaunan, komunikasi korporat dan pengurusan strategik. SSM juga akan membuka peluang pekerjaan dan melaksanakan program perantisan yang dirangka dengan laluan pembangunan kerjaya yang jelas dan progresif.
Melalui inisiatif ketiga pula, SSM akan memperkukuh program libat urus merangkumi lawatan industri, sesi perkongsian kerjaya, dialog bersama pengamal industri serta bimbingan keusahawanan. SSM akan turut menyediakan peluang latihan industri kepada warga akademik universiti.
Kerjasama ini juga membuka ruang kepada SSM untuk menyertai pelbagai program anjuran IIUM, menyumbang kepakaran dalam sesi akademik dan forum industri, serta memberikan bimbingan berkaitan tadbir urus korporat, pematuhan perundangan, di samping memperkukuh pemahaman aspek keusahawanan dalam kalangan para pelajar.
MoU ini ditandatangani oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Professor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Rektor IIUM.
Dalam ucapannya, Datuk Nor Azimah berkata dengan termeterainya MoU ini, SSM bersama kedua-dua pihak akan dapat memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, menyediakan peluang kerjaya dan latihan serta memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat negara.
Majlis ini turut disaksikan oleh Encik Rezy Izwan Ramly, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM dan Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) IIUM.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas melalui SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, atau hubungi talian telefon 03-77214000 atau emel enquiry[at]ssm.com.my.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 3 MAC 2026
| 3/3/2026 | News | 2026 | Press Release | 03/03/2026 | | 433 | | Johor Bahru, 26 Februari 2026 – Seorang pengarah syarikat telah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 5 Februari atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 kerana membenarkan setiausaha syarikat membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat. Tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah yang sama pada 2 Oktober 2025 atas kesalahan yang sama dan mengaku tidak bersalah. Walau bagaimanapun, pada sebutan semula kes bertarikh 5 Februari 2026, tertuduh telah menukar pengakuannya kepada pengakuan bersalah. Berdasarkan pertuduhan, Toh Yang Seng yang merupakan pengarah syarikat G.B.M Glove Enterprise Sdn. Bhd. telah membenarkan setiausaha syarikat membuat satu pernyataan palsu berhubung butir material dalam dokumen Application To Strike Off Company bertarikh 21 Februari 2024 bagi syarikat tersebut. Hakim Dato’ Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 atau penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh telah menjelaskan bayaran denda sejurus selepas prosiding selesai. Pendakwaan telah dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Faizal Mahdi Mahmud dan Amir Sharifuddin Hashim manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Au Yong Han Xing dan Heng Wang Qianwei. SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan kepada SSM. SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 26 FEBRUARI 2026
| 2/26/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 26/02/2026 | | 432 | | Butterworth, 25 Februari 2026 – Seorang individu telah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Februari 2026 atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Lim Yong Sheng didakwa telah memberikan maklumat palsu kepada Pendaftar berhubung alamat perniagaan dalam Borang A bertarikh 1 Mei 2024 semasa pendaftaran perniagaannya, Kidaroo Fashion Trading.
Hakim Roslan Hamid telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh telah menjelaskan denda tersebut pada hari yang sama.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Muhammad Akmal Azmi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan kepada SSM.
SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti.
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA TARIKH: 25 FEBRUARI 2026
| 2/25/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 25/02/2026 | | 431 | | Kajang, 7 Februari 2026 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM218,060 kepada Jabatan Penjara Malaysia sempena Program Pembangunan Insan pada 6 Februari 2026. Sumbangan Wakalah Zakat Korporat ini bertujuan untuk menaik taraf kemudahan latihan di Bengkel Roti Penjara Kajang agar setara dengan standard industri dan lebih produktif, di samping melaksanakan penambahbaikan surau selaras dengan usaha memperkukuh suasana ibadah yang lebih kondusif serta menyokong kesejahteraan rohani warga di sini. Daripada jumlah keseluruhan sumbangan, sebanyak RM195,000 disampaikan bagi pembelian satu unit Dough Divider bernilai RM48,000, satu unit Dough Moulder bernilai RM56,000, satu unit Automatic Dough Rounder bernilai RM58,000 dan satu unit Non-Stick Bread Moulder bernilai RM33,000. Manakala, sebanyak RM23,060 disalurkan kepada Surau At-Taqwa Penjara Kajang. Penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Encik Rezy Izwan Ramly, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zakat & Tanggungjawab Sosial Korporat SSM mewakili Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM. Dalam ucapannya, beliau berkata usaha ini dilaksanakan dengan menerapkan pengetahuan dan membina kemahiran para prospek yang terlibat, bagi membolehkan mereka membina kehidupan yang lebih baik dan berdikari selepas tempoh pemulihan. Tambahnya, ini mencerminkan komitmen SSM dalam mendukung aspirasi Kerajaan, termasuk membantu golongan yang memerlukan selari dengan nilai teras Malaysia MADANI, khususnya prinsip kesejahteraan dan ihsan. Program yang dianjurkan pada hari ini merupakan kesinambungan sumbangan Wakalah Zakat Korporat SSM kepada Jabatan Penjara Malaysia pada tahun 2025 melibatkan serahan 20 ekor lembu pembiakbakaan, pelaksanaan kursus penternakan serta penyelenggaraan surau di Pusat Koreksional Kamunting, Perak pada 21 Februari 2025. Sepanjang tahun 2025, SSM telah mengagihkan lebih RM7.4 juta Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 12,886 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM560,000 melalui program CSR kepada 796 penerima yang memerlukan. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIATARIKH: 7 FEBRUARI 2026
| 2/7/2026 | News | 2026 | Press Release | 07/02/2026 | | 430 | | Semporna, 29 Januari 2026 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) bernilai RM37,000 kepada enam pusat tahfiz serta persatuan dan pertubuhan kebajikan di sini sebagai komitmen berterusan SSM dalam menyantuni golongan yang memerlukan. Sumbangan WZK ini bertujuan untuk memberikan bantuan dan sokongan kewangan kepada pelajar asnaf yang mengikuti pengajian di pusat-pusat tahfiz berkenaan agar mereka dapat meneruskan pembelajaran dengan lebih terjamin dan kondusif, di samping meringankan bebanan yang ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan. Daripada jumlah keseluruhan sumbangan, sebanyak RM6,000 telah disumbangkan kepada Maahad Tahfiz Assohabah dan Pusat Tahfiz Sahabat Prihatin Hj Salasani. Manakala, sebanyak RM5,000 disalurkan kepada Persatuan Penduduk Kampung Terusan Baru, Komuniti Kampung Gusung Melanta, Persatuan Komuniti Kampung Bum-Bum, Pertubuhan Prihatin Komuniti Kg Sri Melanu Semporna dan Pertubuhan Komuniti Madani Kg Senang Hati Semporna. Penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM dalam Majlis Serahan Wakalah Zakat Korporat SSM Sempena Program Sentuhan Komuniti. Dalam ucapannya, beliau berkata SSM sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. “Komitmen ini dizahirkan menerusi program yang berfokus kepada pembangunan komuniti, pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta sokongan terhadap golongan yang memerlukan. Melalui pendekatan yang inklusif dan berimpak tinggi, SSM terus memainkan peranan aktif sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat” katanya. Sepanjang tahun 2025, SSM telah mengagihkan lebih RM7.4 juta Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 12,886 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM560,000 melalui program CSR kepada 796 penerima yang memerlukan. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIATARIKH: 29 JANUARI 2026
| 1/29/2026 | News | 2026 | Press Release | 29/01/2026 | | 429 | | Temerloh, 27 Januari 2026 – Sebuah syarikat dan tiga pengarah telah disabitkan kesalahan di Mahkamah Majistret Temerloh pada 6 Januari 2026 atas pertuduhan gagal membuat serah simpan penyata tahunan kepada Pendaftar bagi tahun kalendar 2024 di bawah Seksyen 68 (1) Akta Syarikat 2016. Syarikat Zabily Marketing Sdn. Bhd., Zainudin Ismail, Nor Khairiah Md Dahan dan Saadiah Hassan mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan. Seksyen 68(1) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa setiap syarikat hendaklah menyerah simpan penyata tahunan kepada Pendaftar bagi setiap tahun kalendar dalam tempoh tidak lewat daripada 30 hari dari ulang tahun pemerbadanan syarikat. Kegagalan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 68(9) Akta dengan denda tidak melebihi RM50,000 dan sekiranya kesalahan itu berterusan, denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan. Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar telah menetapkan hukuman denda sebanyak RM4,000 masing-masing ke atas Zabily Marketing Sdn Bhd serta Nor Khairiah dan Saadiah. Manakala Zainudin pula didenda sebanyak RM2,000. Kesemua tertuduh telah menjelaskan denda tersebut pada hari yang sama. Pendakwaan telah dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Loganath Selvam manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM. DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIATARIKH: 27 JANUARI 2026
| 1/27/2026 | Court Cases | 2026 | Press Release | 27/01/2026 |
|