Bagaimana Permohonan untuk Memperbaharui Lesen
Semua permohonan yang berkaitan dengan intermediari korporat termasuk permohonan pembaharuan lesen Setiausaha Syarikat hendaklah dikemukakan melalui Sistem Pendaftaran Korporat (
Corporate Registry System – CRS). Pemohon yang belum mempunyai akaun SSM4U dikehendaki mendaftar sebagai pengguna melalui SSM4U bagi mendapatkan akses ke portal CRS sebelum mengemukakan permohonan secara dalam talian.
Sila pastikan mata CPE telah dikemas kini dalam CRS melalui fungsi "Updates Particulars of Company Secretary Licence Information" sebelum meneruskan permohonan pembaharuan lesen setiausaha.
Permohonan pembaharuan lesen hendaklah dikemukakan sekurang-kurangnya tiga puluh (30) hari sebelum tarikh luput lesen dengan bayaran fi permohonan sebanyak RM350.00. Fi yang telah dibayar adalah tidak akan dikembalikan.
Bagi tujuan kelulusan permohonan, SSM akan mengambil kira pematuhan terhadap syarat-syarat berikut:
- Setiausaha tersebut bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan;
- Setiausaha tersebut tidak pernah disabitkan, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, atas mana-mana kesalahan yang dirujuk di bawah seksyen 198 Akta Syarikat 2016;
- Setiausaha tersebut tidak pernah disabitkan, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, atas mana-mana kesalahan yang melibatkan penipuan atau ketidakjujuran yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tiga (3) bulan atau lebih apabila disabitkan;
- Setiausaha tersebut tidak mempunyai sebarang tindakan undang-undang yang masih belum selesai terhadapnya di bawah mana-mana peruntukan Akta Syarikat 2016 atau undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama Akta Syarikat 2016;
- Setiausaha tersebut telah memenuhi keperluan mata CPE; dan
- Setiausaha tersebut telah mematuhi terma dan syarat lesen.