Sign In

​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​Anggota Suruhanjaya​


​​YBhg. Dato' Seri Mohd Sayuthi bin Bakar telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia berkuat kuasa 1 Oktober 2026. Beliau memperoleh Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Teknologi Maklumat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2004. Beliau juga memperoleh Diploma Pentadbiran Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada tahun 1996.

 

Dato' Seri Mohd Sayuthi mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan pernah menyandang pelbagai jawatan di beberapa Kementerian dan Kerajaan Tempatan. Beliau pernah menyandang jawatan Penolong Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia dari tahun 1995 hingga 1996 dan telah dinaikkan pangkat kepada Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Dalam Negeri dari tahun 1996 hingga 1999. Beliau seterusnya dilantik sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri dari tahun 2000 hingga 2002 dan Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Kewangan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dari tahun 2004 hingga 2006.  Beliau dilantik ke Pejabat Setiausaha Negeri Selangor sebagai Ketua Audit Dalam pada tahun 2007 dan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sehingga tahun 2010. Dari tahun 2010 hingga 2019, beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua di Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Kajang, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Datuk Bandar di Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada tahun 2019.

 

Pada tahun 2021, beliau telah kembali berkhidmat di Jabatan Imigresen Malaysia sebagai Timbalan Ketua Pengarah dan juga menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri. Beliau telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri di Pulau Pinang dari 19 Disember 2022 hingga 4 Oktober 2023, sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 4 Oktober 2023.​

​​​​​​​

​

​

YBhg. Datuk Alan bin Abdul Rahim telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya pada 20 Mac 2024. Beliau mempunyai lebih 28 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam sejak tahun 1995 di mana penempatan pertama beliau adalah di Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Kementerian Pelancongan & Kebudayaan, Kementerian Dalam Negeri, dan Kementerian Pendidikan sebelum ditempatkan di Kementerian Kewangan pada tahun 2019. Sebelum dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam, beliau pernah ditempatkan sebagai Pegawai Kewangan Persekutuan (Sabah) dan Ketua Unit MyCT, Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan. 


YBhg. Datuk Alan adalah pemegang Sarjana Pengurusan (Pengurusan Projek) daripada Universiti Malaysia Sabah dan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial daripada Universiti Malaya. Beliau seorang yang berpengalaman luas dan mempunyai kelayakan pengkhususan dalam bidang pengurusan projek (pelaksanaan dan pemantauan projek), pengurusan kewangan, pengurusan perubahan (inovasi) dan pengurusan risiko dan krisis.​

​



​​​​​

YBhg. Datuk Mohd Aqliff Shane Abdullah telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya berkuat kuasa 1 Mac 2025. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tenaga Nasional.​


YBhg. Datuk Mohd Aqliff Shane memulakan kerjayanya dalam bidang Kejuruteraan bagi Industri Minyak dan Gas sejak tahun 1999. Beliau pernah berkhidmat di Intergraph Process, Power & Offshore (M) Sdn Bhd, anak syarikat Intergraph Corporation (Tersenarai di NASDAQ) sebagai Jurutera Aplikasi Kanan, khususnya dalam sektor minyak dan gas hiliran serta huluan di Asia. Kini, beliau merupakan Pengarah Urusan Petrolife Aero Sdn. Bhd.​


Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Kumpulan Privasia Technology Bhd (tersenarai di Bursa Malaysia) dari 4 Mei 2009 hingga 2017. Pada tahun 2004, Datuk Mohd Aqliff Shane telah memulakan syarikat minyak dan gas sendiri yang menyediakan perkhidmatan dalam bidang kejuruteraan, fabrikasi struktur dan paip luar pesisir dan darat, serta membekalkan tiub bertekanan tinggi dan kelengkapan peralatan untuk minyak dan gas laut dalam serta perkhidmatan pemeriksaan QA/QC.
​
Pada tahun 2015, Datuk Mohd Aqliff Shane telah menubuhkan sebuah syarikat baharu dalam perdagangan LNG secara global. Pada Julai 2018, syarikat berkenaan iaitu Petrolife Aero LNG telah dianugerahkan lesen rasmi kerajaan sebagai pengimport, pengedar, penghantar gas dan pembekal LNG Regasified untuk industri tenaga. Kini, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal oleh Malaysian Petroleum Resources Corporation (MPRC) untuk menjalankan kajian mengenai peranan Malaysia sebagai hab pasaran gas serantau, serta ahli jawatankuasa kepada jawatankuasa kerja gas Semenanjung Malaysia yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

​

​​​​​

YBrs. Encik Tan Kee Heng telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya berkuat kuasa 1 Mac 2025. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari University of Wolverhampton, United Kingdom serta memperoleh Sijil Amalan Guaman dan merupakan Peguambela di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.


Dengan pengalaman lebih daripada 27 tahun sebagai pengamal undang-undang, YBrs. Encik Tan merupakan pakar dalam litigasi, undang-undang sivil dan kes-kes rayuan. Kepakarannya merangkumi pelbagai bidang perundangan, termasuk undang-undang korporat dan khidmat nasihat komersial, pertikaian tanah, khususnya isu-isu pembangunan tanah di Sarawak, undang-undang syarikat, undang-undang pembinaan, arbitrasi serta undang-undang kontrak. Beliau pernah berkhidmat sebagai Anggota Suruhanjaya dari tahun 2018 hingga 2020 dan kini dilantik semula bagi menyumbang kepakarannya dalam undang-undang syarikat, perbankan dan penyelesaian pertikaian korporat.


Beliau adalah penulis buku “Civil and Criminal Appeals in Malaysia” (4th Edition) yang telah dilancarkan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Selain itu, beliau juga merupakan penyunting penerbitan “Borneo Law Reports”, penyumbang “Bullen & Leake & Jacobs Malaysian Precedents of Pleadings (2023)” serta penasihat penyunting dan penyumbang kepada “Malaysian Civil Procedure (2024)”.​
​
Di bawah kepimpinannya sebagai rakan kongsi pengurusan, firma guaman S.K. Ling & Tan Advocates telah menerima anugerah East Malaysia Law Firm of the Year daripada Asian Legal Business (Thomson Reuters)sebanyak lima kali, iaitu pada Malaysia Law Awards 2017, 2018, 2019, 2022 dan 2024.
​​
YBrs. Encik Tan telah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Sumpah sejak dilantik oleh Ketua Hakim Mahkamah Per​sekutuan pada Februari 2007. Beliau juga dilantik sebagai Notari Awam oleh Peguam Negara sejak 2020, bagi menjalankan kuasa dan fungsi notari di Kuching, Sarawak​.



​

YBrs. Dr. Mazlena binti Mohamad Hussain telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya berkuat kuasa 1 April 2025. Beliau memiliki Ijazah Kedoktoran dalam Undang-Undang Jenayah dan Kesihatan Mental dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diperolehnya pada tahun 2014. 

Selain itu, beliau juga memegang Sarjana dalam Undang-Undang Perbandingan serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang masing-masing diperolehi pada tahun 1994 dan 1993.


Dr. Mazlena kini berkhidmat sebagai Penolong Profesor di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di mana beliau telah berkhidmat di universiti tersebut sejak tahun 1993. 

Sepanjang kerjayanya, beliau telah memberi sumbangan besar dalam bidang pengajian undang-undang dengan terlibat dalam pelbagai inisiatif penyelidikan. Beliau juga telah membentangkan hasil penyelidikannya di pelbagai persidangan tempatan dan antarabangsa, sekaligus menyumbang kepada pemahaman komuniti akademik mengenai undang-undang, khususnya dalam bidang undang-undang jenayah dan kesihatan mental.​

​ ​ ​

YBrs. Tuan Haji Hazel bin Mohammad telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkuat kuasa 25 November 2025. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang diperoleh pada tahun 2000. 


Beliau merupakan seorang peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya serta telah diterima masuk ke Majlis Peguam Malaysia pada tahun 2001. Dengan pengalaman lebih 20 tahun sebagai Penasihat Undang-Undang Kanan, beliau telah menyumbangkan perkhidmatan profesional dalam pelbagai sektor awam dan swasta merangkumi kewangan serta perbankan konvensional dan Islamik, pembangunan hartanah, pembinaan, penyelesaian pertikaian, undang-undang komersial dan korporat. 


Pada masa ini, beliau berkhidmat sebagai peguam kanan di Messrs Shamsuddin & Co (Peguam bela & Peguam cara), mengetuai Jabatan Sivil, Komersial dan Penyelesaian Pertikaian sejak tahun 2001. Beliau juga merupakan Ahli Tribunal Tuntutan Pengguna bagi tempoh 2024–2027.

 

Sejak tahun 2024, beliau turut berperanan sebagai perunding pematuhan undang-undang & korporat di Kasa Strategic Advisory-FZCO, Dubai, UAE, dengan portfolio utama memberi nasihat profesional kepada syarikat asing bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan sistem perundangan Malaysia, peraturan, dasar dalaman serta piawaian etika.​ ​ ​



MYGOVERNMENT
KPDNHEP myGoverment
Agensi-agensi lain di bawah KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
SSM MyIPO MyCC Pernas